Gambar kenangan Muhammad Iqmall bersama Siti Aishah ketika melangsungkan pernikahan pada 5 Jun tahun lalu. Foto ihsan Muhammad Iqmall Muhamad Sukri
Gambar kenangan Muhammad Iqmall bersama Siti Aishah ketika melangsungkan pernikahan pada 5 Jun tahun lalu. Foto ihsan Muhammad Iqmall Muhamad Sukri
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Biarlah segala kenangan manis bersama arwah isteri selama hampir setahun ini menjadi kenangan peribadi terindah buat saya. Hanya saya, arwah dan Allah yang mengetahuinya."

Itu kata Leftenan Muhammad Iqmall Muhamad Sukri, suami kepada jururawat di Hospital Labuan, Siti Aishah Mohd Zamri 26, yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada jam 10.40 pagi kelmarin.

Arwah masukkan ke hospital pada 26 Mei lalu apabila disahkan positif selepas menjadi kontak rapat seorang pesakit yang menerima rawatan di wad hospital berkenaan.

Muhammad Iqmall yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Trafik Udara di Pangkalan Udara Labuan berkata, dia dan arwah isteri bernikah pada 5 Jun tahun lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tidak mengadakan sebarang majlis kecuali pelamin ringkas untuk merakam gambar kenangan.

"Arwah ada merancang untuk mengadakan majlis kenduri, namun tidak menjadi kenyataan kerana PKP yang berlanjutan, selain kekangan tugasnya sebagai jururawat.

"Namun tidak sangka arwah pergi beberapa hari sebelum ulang tahun pernikahan pertama kami.

"Lebih memilukan dia pergi bersama anak sulung kami yang dinamakan Muhammad Adam Muslim," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Iqmall berkata, kali terakhir mereka berbual pada tengah malam Isnin sebelum arwah 'ditidurkan' ketika mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Menurutnya, doktor turut membuat pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan bayi mereka, namun Muhammad Adam Muslim tidak dapat diselamatkan.

"Saya reda dengan pemergian arwah isteri. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas di Hospital Labuan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana menjaga arwah isteri ketika sedang dirawat," katanya sambil menambah isterinya belum mengambil vaksin kerana sedang mengandung.

Berita berkaitan:

  • Tugas Cah mulia, berkorban nyawa demi merawat pesakit
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:15 PM