BIARPUN diduga pelbagai keadaan, Jevitha tetap anggap pilihan kerjayanya tepat kerana bantu selamatkan nyawa.
BIARPUN diduga pelbagai keadaan, Jevitha tetap anggap pilihan kerjayanya tepat kerana bantu selamatkan nyawa.
Siti Nadirah Hafidzin

TANYALAH kepada mana-mana individu berkenaan pemilihan kerjaya, tentunya ramai bersetuju ia bukan sekadar kunci mencari rezeki semata-mata malah lebih kepada minat dan jiwa yang dicurahkan sepenuh hati kepada pilihan dilakukan. Mungkin atas faktor itu juga ramai sependapat pekerjaan yang dilakukan tanpa jiwa umpama mencurah air ke daun keladi.

Apa juga pilihan pekerjaan, tentu ada cabarannya yang tersendiri, pahit dan manis, suka dan duka, semuanya dapat dilalui sekiranya individu terbabit tekad mencurahkan jiwa dan raga dalam memberikan yang terbaik.

Bidang perkhidmatan terutama jururawat antara kerjaya mulia yang memerlukan individu itu bukan hanya bekerja malah perlu mencurahkan kasih sayang, berkongsi suka dan duka serta sanggup berkorban masa selain tenaga dalam membantu memberikan kesembuhan kepada pesakit.

Apabila melangkahkan kaki ke dunia profesion itu, anda bukan saja sentiasa perlu berada dalam keadaan siap sedia malah sanggup berkongsi segala kesakitan, kesusahan dan kesedihan bukan saja kepada pesakit malah seluruh keluarga pesakit yang masing-masing mengharapkan sinar kesembuhan.

Bahkan kerjaya jururawat itu sendiri menuntut kecekalan hati, lantaran waktu kerjanya yang tidak tentu masa selain perlu bijak berdepan tekanan apabila berhadapan dengan pesakit. Oleh itu, Hari Jururawat yang disambut pada 12 Mei setiap tahun adalah waktu terbaik untuk semua melahirkan penghargaan ke atas jasa dan pengorbanan golongan itu.

Sama ada sedar atau tidak, jururawat meluangkan 70 hingga 80 peratus masanya berinteraksi dengan pesakit berbanding masa pesakit bersama doktor atau ahli keluarga masing-masing. Ia menunjukkan betapa besarnya pengorbanan seorang jururawat dalam kerjaya dipilih sekali gus layak digelar hero di hati semua.

Berkongsi suka duka, pengurus jururawat di bahagian kecemasan Pusat Perubatan Sri Kota, Klang, Selangor, M Jevitha, 33, berkata, berkhidmat lebih 12 tahun dalam bidang itu memberikan satu pengalaman bermakna yang tidak dapat dijual beli.

“Saya bermula dalam kerjaya ini sejak 2004 selepas tamat diploma kejururawatan dan memulakan khidmat sebagai jururawat di Pusat Perubatan Sri Kota, Klang. Sejak daripada itu saya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama hampir 11 tahun dan dalam masa sama saya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sama.

Tentunya banyak suka dan duka terutama dalam mengendalikan pesakit kritikal yang sangat memerlukan pemantauan rapi namun semua itu tidak mematahkan semangat saya malah semakin teruja dalam kerjaya ini hari demi hari.

“Bayangkan semua pesakit di ICU dalam keadaan kritikal, oleh itu, saya perlu sentiasa bersedia dalam memberikan yang terbaik kepada mereka. Paling utama adalah nyawa pesakit dapat diselamatkan. Daripada situ juga saya dapat lihat sendiri sakit tidak mengenali sesiapa kerana tidak kira anda tua atau muda, anda tetap berisiko untuk berdepan dengan pelbagai penyakit yang berbahaya,” katanya.

Apabila ditanya berkenaan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya, Jevitha berkata, masih segar di ingatannya pada 2011, seorang wanita berusia 30-an dihantar ke Pusat Perubatan Sri Kota untuk mendapatkan rawatan disebabkan demam sebelum dikejarkan di ICU.

“Keadaan ketika itu sangat cemas dan panik kerana keadaan pesakit semakin lemah, kami bersama doktor berusaha hampir lima jam untuk menyelamatkan nyawa pesakit terbabit namun akhirnya gagal. Ketika itu, kami semua terpinga-pinga mengapa pesakit yang hanya demam boleh meninggal dunia sebegitu cepat.

“Apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, pesakit rupanya mempunyai masalah jantung namun perkara itu tidak dimaklumkan kepada pihak hospital.

“Disebabkan itu, saya sering mengingatkan pesakit supaya memberitahu apa saja maklumat kesihatan diri kepada petugas hospital supaya langkah perubatan tepat dapat dijalankan serta merta dan paling penting untuk menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Jevitha yang kini baru ditukarkan ke bahagian kecemasan hospital sama berkata, setiap kali memulakan tugas, dia akan memberikan motivasi kepada diri sendiri bagi memastikan terus bersemangat ketika berdepan pesakit.

“Saya menganggap bidang ini adalah satu kerjaya yang mulia, selain minat, kita perlu ada rasa tanggungjawab, kasih sayang dan semangat untuk membantu individu yang memerlukan rawatan. Sememangnya sejak kecil saya menanam cita-cita untuk bergelar seorang doktor namun menukarnya kepada jururawat kerana berasakan ia satu kerjaya yang sangat bermakna.

“Kini, apabila diberikan kepercayaan bergelar pengurus jururawat di bahagian kecemasan, saya perlu lebih bersedia, peka dan cekap bagi memastikan tugas dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Di kecemasan dugaannya lain, mana tidaknya, kita sendiri tidak tahu keadaan pesakit yang akan datang dan apakah rawatan yang perlu dilakukan berbeza di ICU dulu apabila kami sudah mengetahui keadaan pesakit yang akan dihantar ke bahagian itu.

“Saya juga sering berbincang bersama rakan sekerja dan doktor apabila seseorang pesakit itu datang ke unit kecemasan untuk dirawat. Pada masa sama, saya juga memberikan kata semangat kepada rakan jururawat supaya kekal positif dan memberikan yang terbaik ketika bertugas. Tidak kiralah kita sedang mempunyai masalah di rumah atau di luar, apabila masuk saja ke hospital jiwa dan raga perlu difokuskan sepenuhnya di situ,” katanya.

Katanya, biarpun diduga dengan pelbagai keadaan, dia tetap menganggap pilihan kerjaya dilakukannya adalah tepat terutamanya dapat membantu ramai insan yang dalam keadaan memerlukan.

JEVITHA bersama rakan sekerja.
JEVITHA bersama rakan sekerja.

FAHAMI PESAKIT

Jevitha berkata, kerjaya sebagai seorang jururawat memerlukan dia meletakkan dirinya sebagai pesakit kerana semua pesakit datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan mereka kembali hidup sihat.

“Layanan diberikan perlulah baik dan mesra. Paling penting jangan sesekali menunjukkan diri anda sedang tertekan atau penat di depan pesakit kerana ia sedikit sebanyak mempengaruhi emosi mereka.

“Saya juga sering mengingatkan rakan setugas supaya sentiasa tersenyum dan melayan pesakit sebaik mungkin. Ia bukan saja menunjukkan imej yang baik malah sekali gus membantu menggembirakan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan,” katanya.

Cabaran paling besar adalah menangani ragam pesakit dengan cara berhemah khususnya yang tidak dapat menerima hakikat penyakit atau keadaan dirinya.

“Di situlah kita perlu tenang dalam melayan pesakit. Jika terlalu penat cuba ambil nafas dan rehat seketika atau minta bantuan rakan jururawat lain. Perlu bijak kawal emosi dan kekal positif,” katanyanya.

Katanya, selain pesakit, jururawat juga perlu bijak dalam berdepan dengan kerenah doktor dan ahli keluarga pesakit.

“Inilah sebabnya saya katakan kerjaya ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana doktor juga ada ragam dan kehendak tersendiri.

“Sebagai jururawat kita perlu bijak dan cekap mengenali karakter setiap doktor yang bertugas. Di unit kecemasan contohnya, segalanya perlu pantas kerana kita berdepan dengan nyawa pesakit,” katanya.

Jevitha yang menetap di Banting, Selangor berkata, dia amat bersyukur kerana sepanjang tempoh berkhidmat, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Jujur dan bertanggungjawab dengan tugas anda sendiri, jangan sesekali ada sikap pentingkan diri kerana sekali anda melangkah ke bidang ini anda perlu pastikan anda menyerahkan bakti sepenuh jiwa.

“Ingat setiap pesakit mahu sembuh dan selain doktor anda adalah individu yang bertanggungjawab dalam membantu menyembuhkan mereka selain takdir,” ujarnya.

KERJAYA BERBALOI

Kata Jevitha, dia sama sekali tidak pernah menyesal memilih jururawat sebagai kerjayanya walaupun masanya banyak dihabiskan di hospital.

“Saya puas kerana selain bekerja, secara tidak langsung membantu ramai individu saban hari terutama pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.

“Malah saya juga gembira kerana keluarga terutama suami dan ibu sangat memahami tugas saya, mereka tidak pernah membuatkan saya tertekan malah banyak memberi semangat untuk terus berbakti,” katanya.

Menurutnya, suaminya amat memahami tugasnya dan hanya akan bertanya sekiranya dia balik terlalu lewat.

“Walaupun sibuk namun saya dapat bahagikan masa sebaik mungkin untuk suami dan anak. Syukur, segalanya berjalan lancar dan anak juga membesar dengan baik di depan mata saya.

“Dalam soal ini, saya perlu bijak bahagikan masa. Jika di hospital, saya akan fokus dengan tugas dan tidak membawa apa juga masalah di rumah ke tempat kerja, begitu juga sebaliknya. Namun disebabkan saya adalah pengurus jururawat, saya juga sering menerima panggilan telefon untuk meminta pendapat juga nasihat,” ujarnya.

Katanya, dia amat mengalukan dan gembira sekiranya ramai generasi muda yang memilih untuk berkecimpung dalam kerjaya ini.

“Jururawat bukan sekadar kerjaya untuk mencari pendapatan, sebaliknya memberikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa seseorang. Tahniah kepada semua jururawat di seluruh negara yang sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 5:30 AM