Eddie bersama arwah isteri dan keluarganya.
Eddie bersama arwah isteri dan keluarganya.
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur : "Arwah isteri adalah penyokong nombor satu dalam karier muzik, sejak dulu.

"Bila saya berdepan dengan cabaran atau masalah, arwah isteri adalah semangat saya untuk terus berjuang dalam bidang muzik sampai hari ini," kata pemain gitar kumpulan Wings, Eddie atau Samsaidi Ulong Idris, 55.

Semalam isteri Eddie iaitu Norlela Mohd Yusof, 61, meninggal dunia kerana komplikasi buah pinggang di Hospital Ampang kira-kira jam 2.10 petang.

Ditanya penyakit arwah isterinya Norlela, kata Eddie, arwah sudah lama menghidap penyakit kencing manis iaitu kira-kira 12 tahun hingga kakinya dipotong serta terpaksa memakai kaki palsu.

"Selain itu, arwah isteri juga mendapat penyakit buah pinggang dan menjalani dialisis dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

"Arwah juga hanya sesuai berubat dengan ubat hospital dan meninggal dunia ketika buat dialisis di Hospital Ampang," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Eddie, dia dan anak-anak sudah reda dengan pemergian Norlela.

"Arwah isteri meninggal pada hari jumaat yang mulia ini. Walaupun sedih, kami reda dengan pemergiaannya.

"Ketika arwah isteri  dimasukkan ke hospital untuk dialisis dua minggu lalu, doktor juga sudah beritahu supaya saya dan keluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Berkongsi kenangan bersama  arwah isteri, kata Eddie, terlalu banyak kenangan manis yang dikongsi bersama arwah ketika hayatnya.

"Arwah memang sentiasa menemani saya ketika buat persembahan bersama Wings termasuk di luar Kuala Lumpur.

"Walaupun dengan memakai kaki palsu, arwah isteri tetap nampak sihat kerana arwah memang tidak suka tunjuk dia sakit. Semangat arwah isteri sangat kuat dan mengalahkan orang yang sihat.

"Tidak sampai sebulan potong kaki, arwah isteri sudah berjalan dengan memakai kaki palsu sedangkan orang lain mengambil masa hingga tiga bulan," katanya.

Selain itu, kata Eddie, dia juga akan merindui air tangan arwah isterinya kerana arwah juga pandai memasak.

"Arwah pandai masak sambal. Sambal itu hanya letak bawang dan cili tapi sedap dimakan dengan ikan kering atau telur mata sahaja," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai persembahan di Konsert Nusafest pula, Eddie berkata, dia tetap akan beraksi bersama kumpulan Wings pada malam ini.

"Datuk Awie sudah berjumpa saya semalam dan bertanya sama ada tempat saya mahu digantikan dengan pemain gitar lain?

"Saya juga sudah beritahu Awie tetap mahu teruskan persembahan malam ini," katanya.

Walaupun masih bersedih, kata Eddie, hidup perlu diteruskan seperti biasa bersama keluarganya.

"Saya sudah memberikan persetujuan lebih awal untuk menjayakan konsert bersama Wings itu.

"Sebagai pemuzik, saya juga tidak mahu menyusahkan anggota lain kerana sukar mahu mencari pemain gitar lain pada saat akhir. 

"Apapun, saya akan bawa semangat arwah isteri pada persembahan itu nanti," katanya.

Jenazah arwah Norlela selamat dikebumikan dengan dihadiri ahli keluarga dan rakan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini, jam 8.30 malam semalam.

Hasil perkongsian hidup dengan arwah Norlela, Eddie juga dikurniakan tiga anak iaitu Nor Najmi Nadira, 30;  Najmi Nabila @Billa, 27, Muhammad Aidil Hidayat, 25, serta tiga cucu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 1:33 PM