MANGSA lemas dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok. FOTO Ihsan PDRM
MANGSA lemas dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Beaufort: Lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika dalam perjalanan pulang mengangkat pukat di Kampung Batu Linting, Menumbok di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, Lee Yong Sit, 55, dikatakan keluar ke laut bersama sepupunya untuk mengangkat pukat yang dipasang.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, bot yang dinaiki mereka dikatakan dipukul ombak hingga terbalik dan menyebabkan kedua-dua mereka terhumban ke laut.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa dan sepupunya cuba berenang ke pantai untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, mangsa gagal menyelamatkan diri, manakala sepupunya pula berjaya diselamatkan orang kampung yang menyedari kejadian itu.

"Mangsa yang ditemukan tidak lama selepas itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir di lokasi sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Penyu.

"Mangsa akan melalui saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 1:23 PM