Suspek ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Kilugus, Menumbok, Beaufort.
Suspek ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Kilugus, Menumbok, Beaufort.
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Beaufort: Seorang lelaki yang diburu polis selepas didakwa memukul dan mengugut isteri menggunakan parang ditahan, hari ini.

Suspek berusia 63 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Kilugus, Menumbok, di sini, jam 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek tidak mengaku bahawa mengugut isterinya menggunakan parang.

Katanya, suspek sebaliknya mendakwa hanya memukul isteri di kaki menggunakan tangan kerana mangsa tidak mahu mendengar kata-katanya supaya menegur anak mereka yang dikatakan kurang ajar.

"Hasil siasatan awal, punca kejadian dipercayai kerana suspek cemburu terhadap anak lelaki mereka sekiranya isterinya membersihkan bilik anak.

"Selain itu, suspek turut menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan ketua kampung kerana pernah membantu mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, suspek bersenjatakan parang mengugut untuk membunuh isterinya sebelum menumbuk mangsa.

Suspek dikatakan bertindak demikian kerana mempercayai isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 11:02 PM