KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan terlanggar seekor kerbau di Jalan Bandau/Kuala Penyu, Kampung Purun. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan terlanggar seekor kerbau di Jalan Bandau/Kuala Penyu, Kampung Purun. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Beaufort: Pegawai bomba yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, maut selepas motosikal ditunggang terlanggar kerbau di Jalan Bandau/Kuala Penyu, Kampung Purun, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu, pada 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan ketika mangsa menunggang Yamaha LC untuk pulang ke rumah di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, dipercayai motosikal ditunggangnya terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan raya.

"Akibat kejadian itu, mangsa bersama motosikalnya terjatuh di atas jalan raya dan dia yang mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu, dengan ambulans.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan akibat parah di bahagian kepala dan badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

MOHD Haziq. FOTO Ihsan PDRM
MOHD Haziq. FOTO Ihsan PDRM

Yusoff Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, arwah ditemukan oleh orang awam ketika terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Penyu sebelum ketibaan pasukan bomba.

"Arwah bertugas di BBP Kimanis di bahagian operasi dan ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai kerja (syif pagi).

"Arwah meninggalkan seorang isteri Johanita Saprin berusia 32 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 9:07 AM