BOT dinaiki mangsa ditemui dalam keadaan enjin masih hidup. FOTO Ihsan PDRM & JBPM
BOT dinaiki mangsa ditemui dalam keadaan enjin masih hidup. FOTO Ihsan PDRM & JBPM
Juwan Riduan

Beaufort: Lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar menangkap ikan di kawasan muara sungai di Tanjung Batu-Batu Kampung Lubok Laut, di sini, hari ini.

Kehilangan mangsa disedari penduduk selepas menemui bot tanpa pengemudi dalam keadaan enjin masih hidup pada 7.30 pagi.

Sebaik bot dipercayai dinaiki mangsa Zulkifli Jambul, 43, ditemui, penduduk kampung menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati kehilangan mangsa disedari selepas bot dinaiki mangsa ditemui.

"Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan penyelamat di lokasi sekitar penemuan bot berkenaan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 pagi

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan setakat ini, mangsa belum ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 2:19 PM