SUSPEK sudah ditahan. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK sudah ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Beaufort: Seorang kontraktor ditahan selepas disyaki memperdaya seorang mangsa dalam urusan pembinaan rumah sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM45,000.

Suspek berusia 37 tahun yang menawarkan perkhidmatan bina rumah itu berjaya ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 3.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek membuat perjanjian dengan mangsa untuk pembinaan rumah berkeluasan 83 meter persegi pada Februari 2017.

Katanya, suspek turut meminta mangsa untuk membuat bayaran pendahuluan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan.

"Mangsa kemudiannya membuat tiga transaksi pembayaran deposit kepada syarikat milik suspek bernilai keseluruhan RM43,000.

"Bagaimanapun, selepas pembayaran dilakukan, kerja pembinaan rumah tidak dijalankan sehingga kini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan maklumbalas namun gagal dihubungi.

Katanya, mangsa kemudiannya pergi ke pejabat penama yang beralamat di Asia City, Kota Kinabalu, namun terkejut selepas mendapati pejabat berkenaan tidak lagi wujud.

"Mangsa yang menyedari tertipu kemudiannya membuat laporan polis dan siasatan terus dijalankan sehingga suspek berjaya ditahan.

"Siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 11:49 AM