Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Satu pameran mengenai penderitaan penduduk Gaza yang menderita akibat serangan rejim Zionis diadakan di bandar Gaza.

Ia adalah satu usaha untuk mengumpulkan gambar kekejaman, kerakusan dan keganasan tentera Israel ke atas penduduk Islam di situ dalam siri serangan yang berlaku sebelum ini.

Presiden Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, pihaknya sedang berhubung dengan semua jurugambar tempatan untuk tujuan itu dan akan menyiapkan video untuk tontonan umum.

"Pameran ini menggambarkan jenayah yang sedang berlaku dan kita akan menyiapkan video penuh nanti.

"Semua gambar ini diambil jurugambar dan wartawan di Gaza dan kita akan kongsi menerusi video itu nanti," katanya.

Nadir berkata, antara gambar itu termasuk roket yang digunakan untuk membedil kawasan penduduk Palestin, keadaan di hospital, bangunan yang runtuh serta mangsa yang mengalami kecederaan.

"Satu sudut yang menarik untuk dikongsikan ialah bagaimana ditunjukkan bom dan roket yang digunakan rejim Zionis.

"Ada roket panjang yang digunakan Iron Dome untuk menghalang roket Mujahidin sampai ke tanah haram Israel. Ada roket berkamera yang boleh dikawal untuk menghentam lokasi penduduk secara tepat," katanya.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha untuk berkongsi dengan orang luar khususnya rakyat Malaysia mengenai apa yang berlaku di sana.

"Nantikan pengumuman rasmi dari kami untuk kami kongsikan segala jenayah yang dilakukan zionis," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui Tabung Kecemasan Gaza melalui akaun rasmi NGO Persatuan Cinta Gaza Malaysia, 564810507826 (Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:16 PM