SEORANG pemuda Palestin melihat bangunan yang musnah dibedil dalam siri serangan udara Israel di sekitar Semenanjung Gaza. FOTO AFP
SEORANG pemuda Palestin melihat bangunan yang musnah dibedil dalam siri serangan udara Israel di sekitar Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Serangan Israel ke atas Gaza dibuat melalui perancangan rapi dan disusun oleh Zionis.

Punca serangan adalah kerana puak Yahudi ingin menggunakan Masjidil Aqsa untuk aktiviti ritual mereka pada akhir Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, ia mencetuskan ketegangan di Al Quds dan ia berterusan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, sebelum ini serangan berlaku dalam tempoh singkat namun serangan terbaharu menunjukkan ia akan berlangsung lebih lama.

"Setakat ini 32 meninggal dunia termasuk kanak-kanak dan lebih 200 cedera.

"Mujahidin Palestin pula mula membalas serangan dengan melancarkan serangan ke rumah-rumah," katanya di dalam perkongsian secara langsung di Instagram kelolaan Global Peace Malaysia (GPM), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bertindak sebagai moderator manakala Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya (UM) Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berperanan sebagai panelis gandingan.

Ketika penstriman langsung, terdengar bunyi bedilan roket dan letupan serta dron tanpa pesawat Israel.

 API dan asap tebal memuncak selepas serangan udara Israel berdekatan Khan Yunish, Semenanjung Gaza. FOTO AFP
API dan asap tebal memuncak selepas serangan udara Israel berdekatan Khan Yunish, Semenanjung Gaza. FOTO AFP

Nadir berkata, ia situasi biasa di Gaza dan penduduk sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan.

"Kita sentiasa bersedia dengan apa jua yang berlaku, kita tawakal dan berserah kepada Allah SWT.

"Serangan boleh jadi berlaku dari laut dan sempadan. Lautan semuanya dikawal tentera Israel.

"Di sini tiada tempat berlindung, di mana-mana boleh menjadi sasaran, jadi penduduk Palestin bersedia bila-bila masa," katanya.

Nadir yang juga satu-satunya rakyat Malaysia di sana menyeru orang ramai terus menyumbang menerusi pelbagai badan bukan kerajaan di tanah air.

 AHLI keluarga Rashid Abu Arra, 16, menatap jenazah mangsa yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel. FOTO AFP
AHLI keluarga Rashid Abu Arra, 16, menatap jenazah mangsa yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel. FOTO AFP

"Kepada yang tanya berapa cepat bantuan boleh sampai, saya boleh katakan, belum pun jasad dikeluarkan dari runtuhan bangunan atau rumah mereka, kita sudah sampai untuk membantu," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui Tabung Kecemasan Gaza melalui akaun rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia 564810507826 (Maybank).

Sementara itu, Dr Mohd Roslan berkata, penduduk Palestin ketika ini boleh dianggap barisan depan agama berdepan dengan kekejaman rejim Zionis.

"Mereka di sana sedang berjuang mempertahankan bumi Palestin, jadi sama-samalah kita mendoakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 6:45 AM