Petugas kesihatan menyediakan dos suntikan vaksin Covid-19. FOTO AZIAH AZMEE
Petugas kesihatan menyediakan dos suntikan vaksin Covid-19. FOTO AZIAH AZMEE
Rafidah Mat Ruzki dan Suzalina Halid


Putrajaya: Protect Health Corporation Sdn Bhd hanya menerima kira-kira 2,000 permohonan daripada pengamal perubatan swasta untuk terbabit memberikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 1,400 sudah dilantik untuk memberikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, semua pengamal perubatan swasta perlu memenuhi syarat ditetapkan dan bukan semua yang mempunyai kemampuan menyediakan peti sejuk khas bagi penyimpanan vaksin Covid-19.

Katanya, bukan semua yang mahu menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Mereka sudah menjalani latihan dan prosedur operasi standard yang diperlukan.

"Ketika ini sebanyak 2,467 yang sudah mendaftar, bukan kesemua 7,000 dan daripada jumlah itu, seramai 1,665 pengamal perubatan swasta sudah selesai menjalani latihan," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya, hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, biarpun ada pengamal perubatan swasta mengatakan mereka sudah biasa memberikan vaksin kepada pesakit, namun pemberian vaksin Covid-19 memerlukan tatacara berlainan, justeru latihan perlu diberikan membabitkan penyimpanan dan pemberian vaksin itu nanti.

Beliau berkata, surat lantikan sudah dihantar kepada 1,482 manakala mereka yang mempunyai keupayaan penyimpanan cold chain hanyalah sebanyak 720.

"Kami mahu semua pengamal perubatan swasta untuk menyertainya, namun kita juga perlu faham, bukan semua mereka ketika ini bersedia dengan penyimpanan cold chain untuk vaksin.

"Menjawab persoalan mengapa bukan 7,000 pengamal perubatan swasta didaftarkan, yang mendaftar hanyalah 2,467 dan kami cuba mendapatkan sekurang-kurangnya separuh daripada mereka untuk beroperasi menjelang Jun," katanya.

Portal MalaysiaKini sebelum ini melaporkan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) menggesa kerajaan mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 dengan mempermudah proses mendapatkan vaksin.

Presidennya, Dr Steven KW Chow dilaporkan berkata, pemberian vaksin boleh dilakukan menerusi doktor swasta dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara, berbanding tumpuan yang diberikan ketika ini kepada pusat pemberian vaksin (PPV).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 4:51 PM