FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Putrajaya: Proses pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu hamil akan dimulakan hujung minggu ini di Kuala Lumpur dan Perlis, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, daripada 98,166 permohonan diterima Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sebanyak 3,000 janji temu dikeluarkan kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan 224 lagi Perlis, pada minggu lalu.

"Kita akan keluarkan lagi janji temu secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh bersalin (EDD). Negeri-negeri lain sedang diproses dan ia mengikut keutamaan EDD," katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini, bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan pemberian vaksin Pfizer-BioNTech kepada ibu hamil dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu dan mereka perlu mendapatkan nasihat doktor serta pakar masing-masing bagi mengetahui risiko daripada proses vaksinasi.

Khairy berkata, CITF juga meluluskan 5,621 permohonan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 daripada pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara.

"Setiap permohonan diterima akan diproses secepat mungkin, iaitu sebelum mereka bertolak ke luar negara," katanya serta menambah pelajar boleh permohonan melalui email di [email protected].

Dalam pada itu, Khairy berkata sebanyak 782 fasiliti kesihatan membabitkan pengamal perubatan swasta telah beroperasi sejak 3 Mei lalu dengan kemampuan memberikan suntikan sebanyak 93,358 sehari.

"CITF akan terus gunakan khidmat pengamal perubatan swasta untuk usaha vaksinasi, seperti vaksinasi bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Khairy memaklumkan fasa tiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini di Kuala Lumpur, dilaksanakan selepas mengambil kira 99 peratus warga emas di lokasi berkenaan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Walau bagaimanapun, warga emas akan terus diletak dalam senarai keutamaan untuk suntikan vaksin sebaik mereka berdaftar," katanya.

Semalam, Khairy berkata fasa tiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi Lembah Klang, akan bermula hari ini di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 5:18 PM