Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Peningkatan kes penipuan sijil vaksinasi palsu yang dikesan di premis perubatan swasta dipercayai susulan kumpulan antivaksin yang terdesak kerana kecelaruan maklumat berkaitan vaksin Covid-19, selain wujud segelintir pihak cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan mudah.

Perkara itu diakui aktivis perubatan dalam kalangan agensi bukan kerajaan (NGO) yang turut kecewa kerana ada doktor sanggup mengenepikan etika perubatan mereka.

Aktivis perubatan Dr Suhazeli Abdullah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku akibat desakan golongan antivaksin untuk mendapatkan sijil vaksinasi secara salah di sisi undang-undang.

"Saya tidak mengenali secara terperinci doktor yang ditangkap memalsukan sijil vaksin berkenaan, namun ia boleh terjadi kerana ada (golongan antivaksin) yang sanggup membayar ribuan ringgit hanya kerana fobia atau takut untuk mengambil vaksin di atas kefahaman falasi yang mereka sendiri ciptakan.

"Mereka terlalu percaya kononnya vaksin itu mengandungi mudarat yang besar sedangkan kajian di seluruh dunia dan dalam negara kita sendiri mendapati vaksin itu selamat serta berkesan mengurangkan wabak Covid-19.

"Manfaat pemberian vaksin itu adalah terlalu tinggi berbanding dengan sedikit risiko yang mungkin didapati," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) berkata, kejujuran setiap pengamal perubatan bertauliah amat penting khususnya bagi meningkatkan lagi pemberian vaksin dalam negara.

"Pemberian vaksin oleh pihak swasta tiada masalah besar selagi mereka jujur dengan amanah yang diberikan.

"Secara peribadi saya mengesyorkan supaya tindakan lebih tegas perlu diberi kepada pihak yang cuba menipu dalam pemberian vaksin ataupun pemalsuan sijil vaksin ini.

"Ia memberi satu impak lebih besar kepada masyarakat, yang mana kelompongan golongan tidak divaksinkan itu akan lebih tinggi dan akhirnya kita tidak mencapai matlamat pemberian vaksin yang optimum dalam negara," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (Imedik) Prof Dr Azizi Ayob berkata, pihak berwajib disyorkan untuk melakukan penguatkuasaan lebih ketat berdasarkan peruntukan sedia ada.

"Orang ramai juga digesa untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini terutama daripada portal Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pusat perubatan dan klinik yang menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin di bawah seliaan kerajaan.

Bagi Pengasas dan Penasihat Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, pengamal perubatan yang menjual sijil vaksin palsu adalah pengkhianat negara.

"Saya tidak pasti apakah pendirian pemilik klinik ini. Jika betul mereka golongan antivaksin, mereka tidak akan mendaftar diri untuk menjadi pusat pemberian vaksin. Jika guna logik akal, buat apa hendak kenakan caj untuk "rakan anti vaksin."

"Pada saya, mereka ini berpura-pura untuk bersama-sama membantu negara membanteras Covid-19 dan mengaut keuntungan daripada pengkhianatan yang dilakukan," katanya.

Katanya, walaupun sistem pensijilan vaksin dan MySejahtera dilindungi teknologi 'blockchain', tetapi di peringkat kemasukan data, manipulasi masih boleh berlaku.

Katanya, sistem untuk semakan dan pemantauan pemberian vaksin perlu diperkukuh untuk memastikan hanya individu benar-benar layak akan menerima sijil vaksin yang sah.

Semalam, media melaporkan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dipetik berkata, semua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:47 PM