Muhammad Yusri Muzamir dan Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk kembali memasukkan AstraZeneca dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sehubungan itu, kaedah pemberian vaksin AstraZeneca tidak lagi akan diteruskan secara sukarela, sebaliknya ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh akan datang.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, masyarakat kini sudah tidak lagi meragui vaksin AstraZeneca dan ia diterima baik dalam kalangan rakyat di negara ini.

Selain itu, katanya, pihaknya sedang melihat kemudahan untuk memilih jenis vaksin Covid-19 dikehendaki yang mungkin diberikan kepada orang ramai melalui MySejahtera yang akan dikemaskini tidak lama lagi.

"Kalau kita melihat kepada keputusan kaedah sukarela ini, ia dibuat apabila ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca.

"Ia disebabkan beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembekuan darah. Maka, kaedah sukarela dibuat berdasarkan keputusan inform decision oleh individu terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:14 PM