Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menggerakkan pelbagai jenis Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dalam usaha menyuntik vaksin kepada 9.3 juta penerima pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa lebih 300 lagi PPV akan dibuka secepat mungkin di negara ini bagi menyegerakan pelaksanaan PICK.

Beliau berkata, perkara itu sudah digariskan dalam rancangan awal PICK bagi Fasa Pertama, Kedua dan Ketiga.

"Bagi PICK Fasa Pertama membabitkan 500,000 barisan hadapan, kita sudah selesai termasuk untuk dos kedua namun tidak membabitkan banyak PPV, vaksin secara bergerak (mobile).

"Namun untuk Fasa Kedua PICK, kita ada 9.3 juta penerima vaksin yang sudah mendaftar dan perlu disuntik dan ia memerlukan penambahan PPV lebih ketara.

"Oleh itu, KKM menggerakkan lebih banyak PPV termasuk di Klinik Kesihatan, hospital awam, PPV mega, hospital swasta selain PPV hidbrid yang akan diumumkan nanti.

"Semua jenis PPV ini kita gerakkan untuk menyelesaikan Fasa Kedua PICK seperti ditetapkan dan Fasa Ketiga pula nanti akan membabitkan 13 juta penerima," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat PPV Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru (PERSADA), di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, lebih 300 lagi PPV bagi PICK akan dibuka secepat mungkin.

DR Adham melawat persiapan dewan PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
DR Adham melawat persiapan dewan PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Muhyiddin berkata, ketika ini lebih 280 PPV sedang beroperasi di seluruh negara.

Sementara itu, Dr Adham berkata, seramai 500 penerima vaksin AstraZeneca akan disuntik di tiga PPV Mega di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, bermula esok.

"Esok bermula suntikan untuk penerima AstraZeneca di PPV Mega dan untuk dua hari pertama, kita suntik sekitar 500 penerima dahulu.

"Kemudian kita akan naikkan ke angka 3,000 penerima satu hari untuk PPV Mega AstraZeneca.

"Kita sudah membuat persiapan rapi dengan petugas mencukupi dan keadaan di PPV Mega sangat kondusif untuk penerima vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 12:53 PM