Muhammad Yusri Muzamir dan Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Peruntukan siling Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bernilai RM70 juta bukanlah hanya bertujuan membangunkan laman sesawang permohonan pusingan kedua janji temu vaksin AstraZeneca.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata, ia sebaliknya meliputi keseluruhan aspek pelaksanaan program pelalian Covid-19 berskala besar di negara ini.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata, peruntukan siling itu juga tidak semestinya dibelanjakan sepenuhnya oleh kerajaan bagi tujuan pelaksanaan PICK.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut berharap penjelasan berkenaan dapat memberi pencerahan kepada orang ramai berkenaan kedudukan terkini PICK.

"Peruntukan siling ini diperuntukkan sebagai siling untuk membangunkan bukan hanya laman sesawang tetapi membabitkan dan meliputi pengurusan dan pemantauan PICK.

"Pembangunan dashboard pelaporan harian PICK; integrasi sistem bagi menghubungkan sistem pangkalan data MySejahtera dan sistem sedia ada Kementerian Kesihatan; pembangunan laman portal pendaftaran vaksin; sistem pengesanan pendaftaran dan vaksinasi serta pembangunan perkhidmatan Google Maps dalam MySejahtera,

"Pembangunan sistem jujukan genomik survelan dan sistem imunisasi survelan; perolehan sistem pengurusan sistem Q Mobile untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV); integrasi pasport sistem dalam MySejahtera; sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin.

"Pengendalian pusat panggilan call centre, sistem MyRight bagi pengurusan mobilisasi sukarelawan dalam pelaksanaan program dan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon bagi peringatan vakasinasi, beberapa kali sebelum tarikh janji temu," katanya.

Beliau mengulas tindakan masyarakat yang mempersoalkan peruntukan dibelanjakan kerajaan bagi pelaksanaan PICK, walaupun permohonan pusingan kedua janji temu vaksin AstraZeneca, semalam, berdepan masalah teknikal.

Pekerja swasta di Klang, Zarian Mohd Kidam, 35, membuat pendaftaran pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin COVID-19 AstraZeneca yang dibuka kepada orang ramai berusia 60 tahun ke bawah secara atas talian bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR
Pekerja swasta di Klang, Zarian Mohd Kidam, 35, membuat pendaftaran pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin COVID-19 AstraZeneca yang dibuka kepada orang ramai berusia 60 tahun ke bawah secara atas talian bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 9:11 PM