FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kerajaan negeri dibenarkan membeli bekalan vaksin dengan syarat ia mestilah mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengambil maklum jenis vaksin yang mahu diperolehi negeri-negeri berkenaan.

"Sebagai contoh Selangor, usaha pembelian vaksin adalah dari syarikat farmaseutikal yang sama dibeli di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Berdasarkan syarat perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan dengan syarikat pengeluar vaksin berkenaan,

pembekalan stok vaksin yang sudah ditempah perlu dan akan didahulukan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Ini bagi memastikan pelaksanaan PICK (diutamakan) sebelum apa-apa bekalan vaksin dapat disalurkan kepada pihak lain.

"Ia termasuklah kerajaan negeri, industri atau hospital swasta yang membuat tempahan dan pembelian selepas Kerajaan Persekutuan, melainkan melalui pembekal yang tidak terbabit dalam PICK," katanya tadi.

Bagaimanapun, Khairy mengulangi bahawa pembekalan vaksin percuma itu mencukupi kepada semua individu yang layak di setiap negeri bagi pelaksanaan PICK.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan CITF turut mengalukan sebarang usaha daripada pihak yang ingin membantu PICK dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada pihaknya atau negeri.

"CITF mengambil maklum mengenai hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada PICK.

"Bagaimanapun, selepas diperiksa dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada sebarang permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini dikemukakan oleh yayasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tiada sebarang halangan sekiranya Yayasan Sekhar atau mana-mana pihak yang mahu meneruskan hasrat murni itu namun ia haruslah disusuli dengan tindakan mengikut saluran yang ditetapkan.

Buat masa ini, tiga jenis vaksin yang sudah mendapat kelulusan NPRA adalah Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:02 PM