VAKSIN AstraZeneca. FOTO HAZREEN MOHAMAD
VAKSIN AstraZeneca. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak akhirnya bersetuju untuk membenarkan penggunaan vaksin keluaran AstraZeneca secara sukarela bagi melengkapkan pelan vaksinasi Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, vaksin berkenaan akan dibekalkan ke Sarawak menerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan.

Beliau berkata, vaksin itu akan ditawarkan kepada penduduk berdasarkan konsep 'siapa cepat, dia dapat' secara sukarela menerusi janji temu.

"Pusat vaksinasi berasingan dan khusus (untuk AstraZeneca) akan didirikan untuk tujuan itu dan ia akan diumumkan nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG) sudah meneliti dan mengkaji perkembangan vaksin Covid-19 khususnya AstraZeneca di peringkat global dan kebangsaan.

"SCoVAG mengemukakan cadangannya untuk menggunakan vaksin AstraZeneca untuk penduduk Sarawak yang layak secara sukarela kepada CITF Sarawak.

"Justeru, CITF Sarawak memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca bagi melengkapkan pelan vaksinasi Covid-19 besar-besaran di Sarawak," katanya.

Beliau berkata, selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan AstraZeneca akan menjadi sebahagian daripada pelan Vaksinasi Covid-19 seluruh negara baru-baru ini, kira-kira 8,000 orang membatalkan pendaftaran vaksinasi dalam talian berikutan meningkatnya keraguan terhadap vaksin berkenaan.

Sehubungan itu, keputusan dibuat untuk mengeluarkan vaksin AstraZeneca daripada Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan kemudian ia ditawarkan kepada mereka yang mahu menerimanya secara sukarela.

Berikutan keputusan itu, katanya, CITF Sarawak memilih untuk tidak menerima vaksin AstraZeneca untuk Pelan Vaksinasi Covid-19.

"Kerajaan Sarawak tidak mahu Program Vaksinasi Covid-19 di negeri ini terganggu oleh keraguan akibat penggunaan vaksin AstraZeneca.

"Bagaimanapun, selepas AstraZeneca ditawarkan untuk diberi secara sukarela di Selangor dan Kuala Lumpur, sebuah akhbar tempatan melakukan tinjauan dalam talian di Sarawak pada 4 Mei lalu mengenai penerimaan terhadap vaksin berkenaan.

"Hasil kajian menunjukkan 69.4 peratus daripada 1,037 responden menyokong pemberian vaksin itu kepada rakyat Sarawak.

"Melihat kepada kesungguhan rakyat Sarawak untuk memilih vaksin AstraZeneca, CITF Sarawak bersetuju untuk menggunakan vaksin itu dengan konsep siapa cepat dia dapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:51 PM