PASUKAN Polis Marin berjaya menjumpai 24 bungkusan daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah sampan selepas menahan seorang lelaki. FOTO ihsan PDRM
PASUKAN Polis Marin berjaya menjumpai 24 bungkusan daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah sampan selepas menahan seorang lelaki. FOTO ihsan PDRM
Aizat Sharif


Kangar: Cubaan lelaki menyeludup 24 bungkusan daun ketum seberat 240 kilogram (kg) bernilai RM40,000 menggunakan sampan ke negara jiran gagal apabila ditahan di perairan Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan dilakukan pada 10.30 pagi kira-kira 0.6 batu nautika dari pantai Kurong Tengar, Kuala Perlis selepas menerima maklumat.

Menurutnya, tangkapan dilakukan Unit Risik Marin Kuala Kedah dan Unit Risik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis yang menjalankan rondaan Op Benteng Covid-19 (Benteng Laut).

"Kami berjaya mengesan sebuah sampan fiber dinaiki seorang lelaki berusia 45 tahun dan memperkenalkan diri sebagai polis.

"Lelaki itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan menemui 24 bungkusan plastik hitam di dalamnya berisi tumbuhan hijau disyaki daun ketum seberat 240 kg.

"Daun ketum dianggarkan bernilai RM40,000 itu dijumpai dalam ruang di dalam sampan itu dan lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan," katanya.

Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 7:58 PM