Daun ketum sebanyak 6,310 kg yang berjaya dirampas PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak dalam serbuan di sebuah rumah. FOTO IHSAN PGA
Daun ketum sebanyak 6,310 kg yang berjaya dirampas PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak dalam serbuan di sebuah rumah. FOTO IHSAN PGA
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 6,310 kilogram daun ketum bernilai RM189,300 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Wan Nik, Batu 18, Padang Besar di Perlis, awal pagi hari ini.

Serbuan dilakukan pada 12.30 malam selepas pasukan terbabit menerima maklumat rumah berkenaan menyimpan daun ketum dalam Ops Benteng (Ops Wawasan Kedah/Perlis).

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Perak Superintendan Abdul Razak Md Din berkata, kesemua daun ketum itu ditemui dalam 61 guni, 43 bungkusan plastik hitam dan lima bungkusan jaring hitam.

Katanya, ketika serbuan, rumah berkenaan didapati tidak berpenghuni dan dipenuhi longgokan plastik lutsinar mengandungi daun hijau disyaki daun ketum.

"Daun ketum itu ditemui memenuhi ruang tamu, ruang dapur dan tiga bilik rumah berkenaan.

"Sebanyak 61 guni itu mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 3,660 kilogram (kg) manakala 43 bungkusan plastik pula dianggarkan seberat 2,580 kg dan lima bungkusan jaring hitam dianggarkan 500 kg," katanya.

Katanya, kesemua daun ketum itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 5:30 PM