DAUN ketum dalam beg plastik yang dirampas. FOTO ihsan PPM
DAUN ketum dalam beg plastik yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Sebanyak 400 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM40,000 dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Perlis di perairan Kuala Perlis, hari ini.

Komander PPM Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejadian berlaku 3.30 pagi di pesisiran Pantai Kurung Tengar ketika anggota PPM bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis melakukan rondaan Op Benteng.

"Pasukan operasi ternampak longgokan 40 bungkusan plastik hitam dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.

"Intipan dilakukan di kawasan berkenaan selama lebih kurang satu jam dan mendapati tiada sesiapa yang menghampiri longgokan bungkusan plastik itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pasukan operasi kemudian membuat rampasan kesemua bungkusan itu dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 11:48 AM