HAMPIR 1.12 tan daun ketum dengan nilai dianggarkan RM33,390 berjaya dirampas PGA Briged Utara dalam dua kejadian berasingan di Padang Besar dan Kuala Perlis pada hari ini dan Jumaat lalu. FOTO ihsan PGA BRIGED UTARA
HAMPIR 1.12 tan daun ketum dengan nilai dianggarkan RM33,390 berjaya dirampas PGA Briged Utara dalam dua kejadian berasingan di Padang Besar dan Kuala Perlis pada hari ini dan Jumaat lalu. FOTO ihsan PGA BRIGED UTARA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih satu tan daun ketum bernilai RM33,390 yang cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di Padang Besar dan Kuala Perlis.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam operasi 1.20 tengah hari tadi, anggotanya melakukan rondaan di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

"Mereka ternampak pergerakan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam belukar, tetapi suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.

"Anggota PGA yang membuat pemeriksaan menjumpai 23 guni berwarna putih dibaluti plastik hitam mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum.

"Daun ketum seberat 713 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM21,390 kemudian dirampas untuk siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menyerbu sebuah Proton Suprima S dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis pada 2.15 petang Jumaat lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan dengan kerjasama Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis dan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Kuala Kedah.

"Pemeriksaan dalam kereta berkenaan mendapati terdapat 40 plastik berwarna hitam sarat mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum seberat 400 kg dengan anggaran nilai RM12,000.

"Selain itu, kita menjumpai kunci kereta yang diletakkan pada lubang kunci kenderaan berkenaan dipercayai digunakan untuk mengangkut daun ketum berkenaan.

"Pemerhatian selama satu jam selepas itu bagaimanapun gagal menemui individu yang cuba menghampiri kereta berkenaan," katanya.

Katanya, kesemua rampasan termasuk kereta berkenaan dianggarkan bernilai RM35,000 itu dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 7:12 PM