SEBANYAK 276 kilogram (kg) daun ketum dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis selepas menahan dua lelaki di Kuala Perlis. FOTO Ihsan AKSEM Kuala Perlis
SEBANYAK 276 kilogram (kg) daun ketum dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kuala Perlis selepas menahan dua lelaki di Kuala Perlis. FOTO Ihsan AKSEM Kuala Perlis
Aizat Sharif

Kangar: Sebanyak 276 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM8,000 dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas menahan dua lelaki di Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Komander AKSEM Perlis Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, anggota Risik AKSEM Kuala Perlis dengan dibantu anggota Risik Pasukan Polis Marin (PM) pergi ke sebuah tempat letak kereta di Jalan Jeti Baru, Kuala Perlis.

"Sebaik tiba didapati tapak parkir yang berpagar tidak berkunci dan ternampak dua lelaki sedang memunggah beberapa bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum dari kereta Nissan Sunny.

"Anggota terus menahan lelaki terbabit dan pemeriksaan menemukan 23 bungkusan plastik hitam dalam dua guni putih berisi daunan hijau disyaki daun ketum seberat 276 kg dianggarkan bernilai RM8,280," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke Thailand sama ada menggunakan laluan laut atau lorong 'tikus' di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Padang Besar.

"Suspek berusia 19 dan 36 tahun berasal dari Kuala Perlis dibawa ke pejabat AKSEM Kuala Perlis untuk siasatan sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:06 PM