SEJUMLAH penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren LRT terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital. FOTO Aswadi Alis
SEJUMLAH penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren LRT terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru di bawa keluar bagi dibawa ke hospital. FOTO Aswadi Alis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dan terkejut dengan insiden kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di sini, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda mendoakan semua mangsa kemalangan termasuk enam yang dilaporkan kritikal dan 15 separa kritikal dikurniakan kesembuhan segera.

"Baginda menyifatkan insiden itu sebagai serius dan menzahirkan penghargaan kepada petugas keselamatan di atas kepantasan serta kesungguhan mereka menyelamatkan mangsa kemalangan itu.

"Selain itu, baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua penumpang dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan segera untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, baginda juga menzahirkan harapan supaya pihak berkaitan memberikan keutamaan kepada mangsa kemalangan khususnya keperluan rawatan menyeluruh dan kebajikan mereka.

Beliau berkata, harapan baginda agar insiden itu dijadikan iktibar kepada semua pihak untuk memastikan ia tidak berulang selain memastikan keselamatan penumpang terjamin dan terpelihara dengan sebaiknya.

Dalam kejadian pada 8.33 malam tadi, dua tren LRT masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya bertembung di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Enam individu berada dalam keadaan kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:37 PM