TREN Lrt yang terbabit dalam kemalangan itu. FOTO IHSAN FB WEE KA SIONG
TREN Lrt yang terbabit dalam kemalangan itu. FOTO IHSAN FB WEE KA SIONG
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru di sini, minggu lalu, boleh mendapatkan khidmat kaunseling pada bila-bila masa dan seberapa banyak sesi yang diperlukan.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, khidmat kaunseling tanpa had oleh Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bagi pemulihan mangsa daripada tekanan perasaan dan trauma akibat insiden berkenaan.

"Mereka hanya perlu menghubungi Prasarana untuk aturkan janji temu dan bertemu kami pada bila-bila masa," kata Penolong Pengarah Kanan bahagian berkenaan Nuridawati Mohd Noor.

Menurut Prasarana, Nuridawati mengetuai sepasukan kaunselor pada sesi penyerahan sumbangan wang ehsan kepada penumpang terbabit di stesen LRT Dang Wangi, di sini, hari ini.

Prasarana turut memberi jaminan akan meneruskan usaha menyampaikan bantuan kepada semua penumpang yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Setakat ini syarikat itu dapat menghubungi 136 daripada 213 penumpang yang terbabit.

"Kami sedang giat berusaha menghubungi baki 77 penumpang yang setakat ini belum dapat dikesan.

"Pihak kami berharap mereka yang berkenaan segera menghubungi Prasarana agar kami dapat menyalurkan bantuan," menurut kenyataan itu.

Prasarana memaklumkan penumpang terbabit boleh menghubungi nombor khas di talian 014-7371330 atau e-mel ke [email protected] untuk tujuan bantuan serta urusan kaunseling.

Dalam kejadian 24 Mei lalu, seramai 47 penumpang dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan apabila sebuah tren membawa penumpang dan tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada 25 Mei lalu dilapor berkata, dapatan awal mendapati punca kemalangan dua tren berkenaan disebabkan kecuaian pemandu gerabak satu daripada tren yang memandu dalam arah yang salah.

Prasarana sebelum ini mengumumkan akan memberikan bantuan khas RM1,000 dan bantuan sokongan lain kepada semua mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:59 PM