Polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk memecah masuk sebuah premis mata wang kripto Bitcoin di Taman Tokun Jaya, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk memecah masuk sebuah premis mata wang kripto Bitcoin di Taman Tokun Jaya, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Dalam tempoh 24 jam, polis berjaya memberkas tujuh lelaki yang memecah masuk premis terbabit pelaburan wang kripto di Taman Tokun Jaya di sini, semalam.

Mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditangkap di sekitar daerah ini oleh sepasukan anggota Cawangan Khas Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Seberang Perai Tengah yang diketuai Inspektor Mohd Hafizul Mohamad Azizan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan pemilik premis pada 4.20 petang yang mendakwa kedainya dipecah masuk selepas melihat pintu jeriji besi dan pintu kayu rosak.

"Mangsa memberitahu ke kedai itu pada 1.30 tengahari dan pemeriksaan di dalam premis mendapati dua set server dan kira-kira 50 mesin mata wang kripto, bitcoin sudah hilang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, risikan dan siasatan lanjut membawa kepada penahanan tujuh suspek dalam tempoh 24 jam dan semua mereka didapati mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk kenderaan yang digunakan mereka bagi kegiatan pecah kedai," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 7:22 PM