Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis berjaya melumpuhkan sindiket memproses dadah didalangi seorang mekanik warga tempatan dan merampas syabu dianggarkan bernilai RM2.9 juta, Isnin lalu.

Bertindak melalui maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu kilang kertas di Machang Bubok, di sini pada 7.30 malam, sebelum mendapati premis itu dijadikan makmal bagi menghasilkan bahan larangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam serbuan itu polis menahan empat lelaki berusia 38 hingga 49 tahun, termasuk dalang sindiket.

"Dalam serbuan ini, polis merampas 66 kilogram (kg) dadah dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM2.376 juta dan 37 liter cecair dipercayai syabu bernilai RM532,800.

"Selain itu, polis turut merampas 35 tong berisi bahan disyaki cecair kimia seberat 885 liter yang mana jumlah rampasan dadah dianggarkan bernilai RM2.9 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

ASISTEN Komosioner Shafee Abd Samad (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah dipercayai syabu dan peralatan memproses dadah ketika sidang media di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT di sini. FOTO Danial Saad
ASISTEN Komosioner Shafee Abd Samad (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah dipercayai syabu dan peralatan memproses dadah ketika sidang media di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT di sini. FOTO Danial Saad

Shafee berkata, polis turut menyita tiga kenderaan, satu rantai leher berserta loket, wang tunai dan tiga akaun simpanan daripada suspek yang nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM281,725.91.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu mula beroperasi menjalankan kegiatan memproses syabu sejak Ogos lalu untuk pasaran tempatan.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung modus operandi sindiket ini dan hubungan keempat-empat suspek ini adalah rakan yang mana dalang bekerja sebagai mekanik manakala tiga lagi tidak bekerja.

"Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan sehingga 400,000 orang penagih," katanya.

Difahamkan, keempat-empat suspek dipercayai mempunyai kepakaran dalam menghasilkan dadah terbabit berikutan menggunakan peralatan yang serba lengkap.

Shafee berkata, keempat-empat suspek itu kini ditahan reman selama tujuh hari hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 5:12 PM