PEGAWAI dan anggota APMM sedang melakukan operasi Carilamat untuk.mengesan seorang nelayan yang dilaporkan hilang.
PEGAWAI dan anggota APMM sedang melakukan operasi Carilamat untuk.mengesan seorang nelayan yang dilaporkan hilang.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri menggunakan dua jet ski dalam operasi Carilamat seorang nelayan yang hilang selepas terjatuh daripada bot gentian kaca, Khamis lalu.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, jet ski milik Polis Marin itu akan memberi tumpuan pencarian di pesisir pantai.

Katanya, keluasan sektor pencarian Ops Carilamat yang memasuki hari kelima membabitkan keluasan 72.92 batu nautika persegi.

"Polis Marin juga akan menggunakan bot PC25 untuk melakukan rondaan di pesisir pantai bermula daripada Kuala Terengganu ke Dungun, hari ini.

"APMM akan menggunakan kapal KM Nusa dibantu Jabatan Perikanan menggunakan kapal P308 untuk pencarian di laut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, dari Taman Purnama, Kuala Ibai, dilaporkan jatuh dari bot gentian kaca ketika keluar ke laut untuk memancing.

Bot gentian kaca yang masih bergerak itu ditemukan beberapa nelayan di perairan Pulau Kapas.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata, ops Carilamat juga dibantu Persatuan Nelayan Terengganu apabila mengerahkan lebih 20 bot dalam usaha mencari dan menyelamat Wan Mohd Sufian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 10:22 AM