GHAZALI Awang menyampaikan bantuan kecemasan kepada Noorfadilah Abdul Rashid. FOTO BAHAROM BAKAR.
GHAZALI Awang menyampaikan bantuan kecemasan kepada Noorfadilah Abdul Rashid. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Berkali-kali suami kata dia tiada semangat mahu sambut 'raya puasa enam' dan mahu pergi cari rezeki di laut," luah Noorfadilah Abdul Rashid, 30, isteri kepada Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang masih hilang di laut sejak Khamis lalu.

Menurutnya, Wan Mohd Sufian tidak menunjukkan sebarang perubahan namun beberapa kali mengungkapkan perkataan itu sebelum keluar dari rumah keluarganya di Taman Purnama, Kuala Ibai, kira-kira 6.45 pagi, Khamis lalu.

Noorfadilah turut meminta supaya operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diteruskan sehingga suaminya itu ditemui.

Pasangan ini mempunyai dua cahaya mata iaitu Wan Nursofia Azzahra Wan Mohd Sufian, 4, dan Wan Nursyifa Adelia berusia satu tahun.

Setakat ini, operasi Carilamat untuk mengesan Wan Mohd Sufian dihentikan kira-kira jam 7 petang tadi dan akan disambung pagi esok.

Noorfadilah ditemui pada program santuni keluarga nelayan anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Bahagian Kuala Terengganu.

Yang turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Penerangan BERSATU negeri, Badrolhisham Mohamed @ Shafie, Pegawai JKM daerah Kuala Terengganu, Ghazali Awang dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri.

Pada program itu, JKM menyampaikan bantuan kecemasan sebanyak RM300 kepada Noorfadilah dan Rohaidah Ismail @ Abdul Latiff, isteri kepada seorang lagi nelayan, Jaafar Sulong yang ditemukan lemas di perairan Pulau Kapas, Sabtu lalu.

Wan Mohd Sufian dilaporkan hilang, Khamis lalu selepas penemuan bot gentian kaca miliknya ditemui 10.1 batu nautika dari muara sungai Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 12:19 AM