SEREMBAN 20 MEI 2021. Selebriti, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas dua pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021. STR/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan keluarga usahawan dan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa sudah lengkap.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kertas siasatan itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Siasatan menjurus kepada kesalahan yang dilakukan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),"katanya tadi.

Terdahulu, polis sudah memanggil Neelofa termasuk sembilan ahli keluarganya yang untuk memberi keterangan berhubung video sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tular Selasa lalu.

Video tular yang dimuat naik melalui akaun instagram kakak kepada selebriti berkenaan yang merakamkan detik sambutan Hari Raya Aidilfitri Khamis minggu lalu di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di sini.

Susulan itu satu laporan polis dibuat berhubung video yang tular di media sosial berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati video tular berdurasi selama 26 saat itu memaparkan ahli keluarga selebriti berkenaan didapati berkumpul di sebuah rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius isu pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kertas siasatan sudah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

"Sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 4:09 PM