ANTARA foto majlis pernikahan berkenaan yang tular di media sosial. FOTO IG ladylofaaaa
ANTARA foto majlis pernikahan berkenaan yang tular di media sosial. FOTO IG ladylofaaaa
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengurus acara majlis pernikahan selebriti popular dan pendakwah bebas akan dipanggil pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, selain daripada pengurus acara berkenaan, beberapa saksi lain termasuk pekerja hotel turut akan dipanggil bagi memberi keterangan.

"Semalam, pihak polis sudah mengambil keterangan pihak hotel dan hari ini, dijangkakan akan ambil keterangan dari pengurus acara majlis berkenaan.

"Saksi-saksi lain juga akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, orang ramai diminta untuk tidak salah faham berhubung pengeluaran kompaun terhadap kesalahan melanggar SOP.

"Polis menerima maklumat selepas gambar berkenaan tular kerana majlis diadakan secara tertutup, jadi siasatan perlu dijalankan.

"Kalaulah majlis itu masih berjalan dan ketika itu juga polis menerima laporan mengenai perlanggaran SOP, sudah pasti kita akan ke lokasi dan mengeluarkan kompaun," katanya.

Menurutnya, siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti gambar yang tular termasuk kesahihan gambar terbabit sebelum tindakan lanjut diambil.

"Masyarakat tidak perlu khuatir, tidak ada pilih bulu dalam pelaksanaan SOP, tindakan sewajarnya akan di ambil selepas kertas siasatan lengkap dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan selebriti popular, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di hotel terkemuka di sini.

Pasangan itu dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor dan menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

Namun, satu gambar tular di media sosial mendakwa majlis yang dianjurkan itu tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 8:13 AM