Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kertas siasatan terhadap usahawan dan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa bersama ahli keluarganya sudah lengkap berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.

Polis akan menyerahkannya ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya memandang serius isu pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, merujuk kepada satu video tular membabitkan seorang selebriti yang didakwa menyambut 1 Syawal bersama-sama keluarganya, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP.

"Kertas siasatan sudah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

"Sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata, pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun aktiviti ziarah raya tetap tidak dibenarkan untuk mana-mana individu sekali pun.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 11:09 PM