GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Mayat tanpa identiti dalam keadaan berulat ditemukan polis di ladang kelapa sawit berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 6.30 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan polis bersama pegawai forensik mendapati mangsa meninggal dunia kira-kira lima hari lalu berdasarkan keadaan mangsa yang sudah berulat dan berbau busuk.

"Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk melaporkan kepada Inspektor Khairul Syafawie Abdul Yusof di talian 014-5175601 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis menemukan mayat lelaki berusia 48 tahun di sebuah rumah terletak di Taman Marida, dekat sini pada 11.32 pagi tadi, hasil maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit meninggal dunia lebih tiga hari berdasarkan keadaan fizikal yang sudah membengkak dan berbau busuk.

"Abang kandung si mati telah membuat pengecaman mayat itu. Bedah siasat terhadap mayat itu dilakukan di Hospital Tuanku Ja'afar bagi mengetahui punca kematian pada 10 pagi, esok," katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 4:00 PM