GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Mayat dipercayai seorang lelaki tanpa identiti dalam keadaan berulat ditemukan polis di kawasan hutan berhampiran Puncak Jati, Putra Nilai, Bandar Baru Nilai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus selepas menerima laporan berhubung penemuan mayat itu jam 10.15 malam.

Menurutnya, hasil siasatan bersama pegawai forensik mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia lebih daripada tujuh hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat dan berbau.

"Bagaimanapun, identiti sebenarnya masih belum diketahui dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk melaporkan kepada Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed di talian 013-6262415 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:32 PM