KAKITANGAN KKM menampal notis perintah tutup premis dalam ops bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah tapak pembinaan di Bertam Perdana. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN KKM menampal notis perintah tutup premis dalam ops bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah tapak pembinaan di Bertam Perdana. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Kegagalan kontraktor sebuah tapak perumahan di Bertam Perdana, di sini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kerja pembinaan projek rumah teres terpaksa dihentikan selama tujuh hari.

Bukan itu sahaja, kompaun sebanyak RM35,000 turut dikeluarkan pihak polis kepada kontraktor atau majikan tapak pembinaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, notis penutupan dan kompaun itu dibuat selepas polis mengadakan operasi bersepadu ke atas tapak pembinaan berkenaan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), pada jam 10 pagi hari ini.

"Ketika pemeriksaan, majikan di kawasan tapak pembinaan ini gagal memastikan pekerja memakai pelitup muka, membiarkan pekerja tidak mendaftar MySejahtera serta bekerja dalam keadaan tiada penjarakan fizikal serta tidak mengambil suhu pekerja.

"Berikutan itu, KKM mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari, manakala polis pula mengenakan kompaun sebanyak RM35,000 kepada pihak majikan," katanya selepas selesai mengadakan operasi pemantauan pematuhan SOP PKP di tapak pembinaan berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, antara 30 hingga 40 pekerja warga asing dilihat meloloskan diri ke kawasan semak di bahagian belakang tapak pembinaan itu sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, baki 31 pekerja berusia lingkungan 20 hingga 40-an berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Pengarah CIDB negeri, Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis kepada wakil kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat berikutan pekerja yang ditahan mempunyai masalah berkaitan dokumentasi.

"Mereka sepatutnya tidak boleh bekerja mengikut Akta 520 CIDB. Maklumat itu diperlukan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengeluarkan kompaun kepada kontraktor utama, majikan atau sub kontraktor," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan JTK negeri, Sherin Erna Majid berkata, pemeriksaan awal pihaknya mendapati majikan gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta 446 yang mana majikan gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada JTK.

"Selain itu, majikan juga gagal mematuhi peraturan menyediakan tilam, katil dan almari berkunci kepada pekerjanya.

"Bagi kesalahan itu, JTK akan mengeluarkan saman, manakala bagi tindakan susulan pula kami akan membuka kertas siasatan terhadap majikan di bawah Akta 446," katanya.

Pada masa sama, MBSP turut menyita sebuah gerai yang dibina di dalam kawasan tapak pembinaan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 3:29 PM