Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kira-kira 60 daripada 100 pekerja asing bertempiaran lari masuk ke dalam hutan sejurus melihat kehadiran pihak berkuasa yang menjalankan operasi di tapak pembinaan tempat mereka bekerja di Bertam, di sini, hari ini.

Dalam operasi 11 pagi itu, sekumpulan pekerja asing terbabit meloloskan diri bagi mengelak ditahan polis yang menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasilnya polis menahan 40 pekerja asing dalam operasi itu manakala selebihnya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Kami bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang mengadakan operasi di tapak pembinaan sebuah hotel di sini bagi memantau supaya kerja binaan dilakukan mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagaimanapun, hampir 60 pekerja asing yang melihat kehadiran polis dan CIDB bertindak melarikan diri ke dalam hutan," katanya selepas mengadakan operasi itu, hari ini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan ke atas 40 pekerja asing yang ditahan mendapati 11 daripadanya tidak mempunyai permit kerja sah dan mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pihaknya mendapati tapak pembinaan itu tidak mematuhi SOP ditetapkan MKN menyebabkan kerja di situ terpaksa dihentikan.

Sementara itu, Pengarah CIDB negeri, Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian kerja selama empat hari ke atas kontraktor projek terbabit yang tidak mematuhi SOP.

ANGGOTA polis dan CIDB memeriksa warga asing ditahan di tapak pengubahsuaian hotel di Bertam, Kepala Batas, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
ANGGOTA polis dan CIDB memeriksa warga asing ditahan di tapak pengubahsuaian hotel di Bertam, Kepala Batas, hari ini. FOTO DANIAL SAAD

"Jadi dalam tempoh ini mereka tidak dibenarkan untuk melakukan kerja di tapak pembinaan terbabit sepanjang notis berlangsung.

"Pada masa sama, pemeriksaan mendapati kontraktor utama turut gagal mengemukakan dokumen dan permit berkaitan pembinaan rumah kongsi di dalam tapak pengubahsuaian hotel terbabit.

"Ini berikutan ruangnya tidak selamat daripada segi pengudaraan serta persekitaran yang boleh menyebabkan penyebaran wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, majikan di situ diambil tindakan kerana gagal menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan terhadap pekerja asing digaji mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 6:06 PM