Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Lebih 50 pekerja di tapak pembinaan perumahan di Bertam Putra, di sini meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Dalam operasi kira-kira 11 pagi itu, polis bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengadakan serbuan ke atas tapak itu di bawah Mukim 6 yang diletakkan sebagai Zon Merah Covid-19.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil serbuan berjaya menahan 28 pekerja, manakala mereka meloloskan diri kini dalam buruan

"Kita turut mengeluarkan kompaun RM20,000 ke atas kontraktor kerana kegagalan mematuhi SOP, apabila tidak menyediakan dan memastikan pekerja mengimbas QR Code MySejahtera dengan alasan sudah menulis nama dan butiran diperlukan pada buku catatan.

"Namun SOP terkini mewajibkan pendaftaran masuk menggunakan MySejahtera kerana ia memberi kemudahan kepada semua, terutamanya memudahkan tugas mengesan kontak rapat sekiranya berlaku kes positif Covid-19, apatah lagi semua pekerja mempunyai telefon pintar," katanya ditemui selepas operasi itu, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah CIDB Pulau Pinang, Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari untuk pihak kontraktor memberi maklumat lebih lanjut berkaitan tapak pembinaan berkenaan.

"Melalui maklumat yang diterima, terdapat 81 pekerja di tapak pembinaan ini namun dalam pemeriksaan kita hanya ada 28 pekerja sahaja.

"Oleh itu, dalam tempoh tujuh hari ini, kerja-kerja pembinaan perlu dihentikan dan kontraktor perlu membuktikan atau memaklumkan bilangan sebenar mereka yang bekerja di dalam tapak untuk kita mengetahui apa yang terjadi kepada yang selebihnya," katanya.

Zahidi berkata, pihaknya juga tidak dapat mengenal pasti sama ada kesemua pekerja itu sudah menjalani ujian saringan Covid-19 atau tidak, dan siasatan mengenainya akan dibuat.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja, Pejabat Tenaga Kerja Butterworth, Nazrah Yusof pula berkata, pihaknya mengeluarkan notis mengarahkan majikan mengemukakan dokumen berkaitan susulan penemuan penginapan di dalam tapak itu yang tidak mengikuti spesifikasi di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

ANGGOTA yang terlibat ketika dalam operasi serbuan di tapak pembinaan. FOTO DANIAL SAAD
ANGGOTA yang terlibat ketika dalam operasi serbuan di tapak pembinaan. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 6:01 PM