BERNAMA

Putrajaya: Program pelaksanaan suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) Covid-19 secara sukarela akan diperluaskan selepas kesemua semua 268,000 slot temu janji dipenuhi hanya dalam tempoh tiga jam, semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, di bawah pelaksanaan program vaksinasi kedua vaksin berkenaan kelak, kerajaan akan menangani masalah individu yang tidak mempunyai akses Internet dan bekalan pengagihan vaksin.

"Demi perancangan masa depan program AstraZeneca (sukarela)… Kami akan menghubungi klinik komuniti supaya kami dapat (terus) menawarkan (vaksin) secara sukarela," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini, hari ini.

PENIAGA, Mohamad Hatta Mansor, 32, melakukan pendaftaran secara dalam talian untuk mendapatkan suntikan Vaksin AstraZeneca, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENIAGA, Mohamad Hatta Mansor, 32, melakukan pendaftaran secara dalam talian untuk mendapatkan suntikan Vaksin AstraZeneca, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Menurut Khairy, Malaysia akan mempunyai bekalan vaksin AZ yang mencukupi apabila 1.1 juta dos vaksin dijadualkan tiba dari kemudahan COVAX pada Mei ini dan pada Jun sebanyak 610, 000 dos akan diperoleh dari syarikat farmaseutikal AstraZeneca sendiri. Pada Julai sebanyak 410,000 dos akan diterima manakala sebanyak 1.2 juta dos akan tiba pada Ogos dan September, nanti.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan memutuskan jarak masa untuk AZ esok berdasarkan keberkesanan, logistik dan peningkatan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 4:50 PM