Pasar Tani Ampangan menjadi pasar tani pertama di Negeri Sembilan diarahkan tutup sementara kerana COVID-19. FOTO IHSAN FAMA
Pasar Tani Ampangan menjadi pasar tani pertama di Negeri Sembilan diarahkan tutup sementara kerana COVID-19. FOTO IHSAN FAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pasar Tani Ampangan yang beroperasi setiap hari Selasa di perkarangan Flat Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) di sini, diarah tutup bagi mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar berkata, penutupan sementara itu bermula hari ini dan ia dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas terdapat kes positif Covid-19.

Katanya, pasar tani itu adalah pasar tani pertama di negeri ini yang diarah tutup kesan Covid-19.

"Pengoperasian semula pasar tani itu dijadualkan pada 25 Mei depan. Namun kami akan melihat perkembangan semasa sama ada ia boleh dibuka semula atau sebaliknya. Semua itu tertakluk kepada arahan KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Terdapat 20 pasar tani di seluruh Negeri Sembilan dan arahan penutupan kali pertama sejak kami membuka operasi secara berperingkat sejak Jun tahun lalu," katanya, di sini, tadi.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh semua peniaga pasar tani serta pengunjung.

"Kami turut mendapat kerjasama daripada PBT, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam memastikan SOP itu dipatuhi sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, antaranya langkah yang diambil termasuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas tidak dibenarkan masuk ke kawasan pasar tani.

Katanya, pihaknya menggalakkan peniaga pasar tani beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan transaksi secara sentuhan tangan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

"Setakat ini kita dapati sudah ada peniaga yang menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai dan kita mahu lebih ramai peniaga pasar tani di negeri ini berbuat demikian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:40 PM