PENAGA Bazar Aidilfitri  Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu kota mula mengemas barang jualan mereka ketika tinjauan, semalam. 
Premis termasuk Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (Hide) kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19 diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.
PENAGA Bazar Aidilfitri Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu kota mula mengemas barang jualan mereka ketika tinjauan, semalam. 
Premis termasuk Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (Hide) kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19 diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: "Selepas setahun Covid-19 ini, sepatutnya kita sudah ada standard manual SOP (prosedur operasi standard), contohnya dibukukan.

"Jadi apabila kes jangkitan cecah 1,000, orang ramai sudah tahu industri mana boleh beroperasi, siapa yang boleh keluar untuk bekerja dan sebaliknya," kata Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon.

Norsyahrin berkata, pihak berkuasa perlu menyelaraskan SOP dan menyediakan manual selepas setahun negara berdepan Covid-19.

"Selepas setahun sepatutnya kerajaan sudah tahu cycle Covid-19 ini dan sediakan satu manual SOP standard yang boleh diikuti semua orang.

"Jadi bila kes naik 2,000, 3,000, 4,000, kita sudah tahu SOP apa yang perlu kita ikut.

"Oleh itu, tidak perlulah setiap kali ada turun naik kes, setiap kali itu jugalah baru buat pengumuman," katanya, semalam.

Beliau berkata, sebaik-baiknya hanya seorang menteri sahaja dipertanggungjawabkan untuk 'bercakap' supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

"Paling penting sekarang ini, kerajaan sudah patut ada manual SOP agar tidak berubah-ubah dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah peniaga kecil.

"Apabila sudah ada panduan manual, jadi orang sudah tahu setiap kali ada kes jangkitan, maknanya masing-masing boleh bersiap sedia," katanya.

Menurutnya, apabila kerajaan tiba-tiba mengumumkan penutupan premis di kawasan Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (Hide) sudah pasti yang terjejas bukan saja peniaga kecil, malah peruncit besar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain.

"Sekarang ini, peniaga kecil dan PKS kebanyakan mereka berniaga bukan untuk untung, tetapi lebih kepada untuk survive.

"Untuk pengetahuan, SOP Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga tidak sama (selaras) dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) dan kadangkala apabila Miti memaklumkan seperti ini, PBT pula menyatakan senarai SOP mereka lain, akhirnya yang jadi mangsa peniaga juga," katanya yang mengulas mengenai 151 lokasi pusat beli-belah terkemuka, pasar raya besar, pasar awam, rangkaian pasar mini terkenal serta bazar Aidilfitri yang tersenarai di bawah Hide dan diarahkan tutup serta-merta.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi premis Hide sekitar Kuala Lumpur mendapati semuanya mematuhi arahan kerajaan dengan menutup operasi.

Malah, beberapa pasar raya besar dan pusat beli-belah turut mengeluarkan kenyataan kepada orang ramai yang memaklumkan mengenai penutupan cawangan mereka selama tiga hari di platform media sosial serta meminta pelanggan untuk membeli barang keperluan di premismereka yang tidak tersenarai dalam Hide.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:32 AM