PETUGAS kesihatan melakukan saringan Covid-19 terhadap orang awam yang berkunjung ke Pasar Jalan Othman. FOTO Aizuddin Saad.
PETUGAS kesihatan melakukan saringan Covid-19 terhadap orang awam yang berkunjung ke Pasar Jalan Othman. FOTO Aizuddin Saad.
Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


SEMUA peniaga dan pemborong pasar yang diarah tutup hanya akan dibenarkan kembali membuka gerai masing-masing selepas kerja sanitasi dan pemeriksaan saringan kesihatan selesai dilakukan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, empat pasar awam yang ditutup setakat ini berhubung kait dengan kluster kes di Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Setakat ini empat pasar yang ditutup di Bahau, Taman Mega, Jalan Othman Petaling Jaya dan Chow Kit kerana kaitan kontak rapat dengan pasar borong yang ada positif kes.

"Jadi kerajaan ambil keputusan terpaksa tutup supaya kerja pembersihan pasar itu dapat dilakukan.

"Selepas itu, peniaga atau pemborong boleh buat saringan kesihatan sebelum dibenarkan berniaga semula," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu peniaga yang kerugian selepas tidak dibenarkan mengambil bekalan makanan di gerai masing-masing selepas pasar ditutup untuk proses pembersihan dan saringan kesihatan.

Ismail Sabri berkata, penutupan empat pasar berkenaan mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

"Penutupan pasar itu sama seperti SOP pasar borong yang kita tutup empat hari untuk tujuan kerja pembersihan dan nyah kuman," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 4:14 PM