Omar Ahmad.


Johor Bahru: Walaupun masih berada dalam pendemik Covid-19, ia tidak menjadi halangan buat petugas sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Midvalley Southkey, di sini untuk menceriakan sambutan Hari Malaysia.

Penyelaras PPV Mega Midvalley, Mahdhir Malham berkata, pembukaan PPV pada pagi ini diserikan dengan tarian zapin oleh 20 petugas sukarelawan MyVac di hadapan penerima vaksin.

Katanya sepanjang hari ini, lagu patriotik dan semangat cintakan negara akan dipasang di PPV ini sebagai suntikan semangat kepada penerima vaksin dan petugas.

"Bukan itu sahaja, lebih 70 petugas sukarelawan MyVac dan juga petugas kesihatan pelbagai kaum yang berada di sini turut mengenakan pakaian tradisional termasuk baju kurung, kebaya, baju Melayu, sari, kurta, cheongsam serta samfoo.

"Pembukaan PPV pada pagi ini dimulakan dengan lagu Negaraku dan lagu Bangsa Johor, sebelum tarian zapin dipersembahkan. Tepukan gemuruh kami terima daripada penerima vaksin, ternyata semangat dan perpaduan kaum amat dirasai.

"Kita tidak mahu pendemik ini menghalang keceriaan dan semangat sambutan Hari Malaysia. Senyuman setiap petugas dan penerima vaksin amat bermakna kepada kami," katanya ketika ditemui di PPV Mega Midvalley di sini, hari ini.

Bagi petugas sukarelawan MyVac, D Indumathi, 24, sempena Hari Malaysia dia mengenakan pakaian kurung moden yang dipinjam daripada rakannya.

Katanya, rasa lebih bersemangat apabila mengenakan pakaian tradisi pelbagai kaum dan bertugas dalam suasana perpaduan yang mesra.

"Saya berbangga mengenakan pakaian kaum Melayu, seronok datang bertugas hari ini, apabila rakan sukarelawan lain juga mengenakan pakaian tradisi India iaitu sari.

"Saya berharap perpaduan ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, sukarelawan MyVac, Cynthia Fong, 23, bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.

Katanya, mereka bukan sahaja bertugas membantu barisan hadapan melengkapkan dan melancarkan proses pemberian vaksin, tetapi mesra sebagai rakyat Malaysia.

"Di sini kami saling membantu, tidak kira kaum. Jika ada warga emas hadir mendapatkan vaksin, kami akan membantu.

"Saya bersyukur dapat menyambut Hari Malaysia bersama rakan petugas di PPV ini, suasana lebih ceria dan bersemangat berbanding hari lain," katanya.

Sejak dibuka pada Julai tahun lalu, PPV ini sudah memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kira-kira 225,000 penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 12:01 PM