Wan Ahmad Fayhsal (kiri) bertanya khabar kepada seorang penerima suntikan vaksin di PPV MiTEC, Kuala Lumpur. Foto Ihsan Armada
Wan Ahmad Fayhsal (kiri) bertanya khabar kepada seorang penerima suntikan vaksin di PPV MiTEC, Kuala Lumpur. Foto Ihsan Armada
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengaktifkan 'Misi 100 jam Khidmat Sukarela' untuk membantu petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia bagi memastikan kelancaran proses pemberian vaksin kepada orang ramai.

Menurutnya, pihaknya membantu pasukan MyVac, bertugas membantu di PPV masing-masing.

"Idea ini tercetus semalam dan saya bertugas membantu MyVac selama empat jam di MiTEC di sini, hari ini.

"Saya dapat lihat bagaimana dengan sokongan yang baik, petugas barisan depan membantu masyarakat dan bersama-sama bertekad untuk memerangi Covid-19.

"Di peringkat Armada, saya minta semua bahagian di peringkat Parlimen untuk membantu di PPV selama 100 jam, kita rekodkan kehadiran dan berikan penghargaan kepada mereka," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, inisiatif itu diambil untuk menggalakkan golongan belia mewakafkan sumbangan mereka bukan saja dalam bentuk wang ringgit tetapi juga tenaga ketika pandemik.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk membantu pengendalian program imunisasi berkenaan dalam usaha untuk mencapai komuniti kelompok.

"Tidak kira sama ada menyertai sukarelawan kita atau MyVac, saya gesa belia untuk sama-sama membantu. Mereka boleh mendaftar sebagai sukarelawan di www.myvac.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 10:58 PM