ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Selangor dengan kerjasama JKDM merampas 76 kasut berjenama tiruan di Bay Pemeriksaan Rapi Penguatkuasaan Kastam, KLIA, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP SELANGOR
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Selangor dengan kerjasama JKDM merampas 76 kasut berjenama tiruan di Bay Pemeriksaan Rapi Penguatkuasaan Kastam, KLIA, hari ini. FOTO ihsan KPDNHEP SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Sepang: Gunakan Malaysia sebagai transit untuk menghantar pelbagai kasut jenama terkemuka tiruan ke Amerika Syarikat.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas 76 kasut tiruan bernilai RM 19,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Bay Pemeriksaan Rapi Penguatkuasaan Kastam, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, rampasan itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Sepang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Kes membabitkan rampasan ke atas barangan disyaki tiruan berjumlah 76 unit kasut yang disyaki cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 19,000," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(a) Akta Cap Dagangan 2019.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPDNHEP memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang terbabit menawarkan penjualan barang tiruan.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain seperti JKDM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha membanteras penjualan barangan tiruan.

"Pengguna disaran menyalurkan aduan atau maklumat kepada KPDNHEP sekiranya menjumpai mana-mana premis yang menjual barang tiruan di pasaran fizikal mahupun pasaran dalam talian (online market place)," katanya.

Aduan dan maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-8882 6088/6245), talian bebas tol 1 800 886 800 dan aplikasi WhatsApp KPDNHEP (019-2794317).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:41 PM