KAKITANGAN AEON memberitahu pelanggan secara bersemuka mengenai penutupan sementara pusat membeli-belah AEON cawangan Bandaraya Melaka selama tiga hari. FOTO Syafeeq Ahmad
KAKITANGAN AEON memberitahu pelanggan secara bersemuka mengenai penutupan sementara pusat membeli-belah AEON cawangan Bandaraya Melaka selama tiga hari. FOTO Syafeeq Ahmad
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pasar Raya Besar Giant dan AEON BiG yang berada di lokasi Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) ditutup bermula hari ini hingga 11 Mei.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, Giant memaklumkan bahawa bagi mematuhi arahan pihak berkuasa, semua cawangan yang tersenarai di bawah HIDE diarahkan untuk ditutup selama tiga hari.

"Kami sedang bekerja sama dengan pihak berkuasa kesihatan berkaitan untuk memastikan kami menyediakan semua keperluan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi melakukan pembersihan sepenuhnya, tujuh cawangan Giant akan ditutup mengikut tempoh yang ditentukan," katanya.

Antara cawangan terbabit ialah Giant Hypermarket Bandar Kinrara, Giant Hypermarket Banting, Giant Hypermarket Klang, Giant Hypermarket Plentong, Giant Hypermarket Tampoi, Giant Superstore Nilai, Giant Supermarket Sungei Wang.

Kenyataan itu berkata, kesejahteraan semua pelanggan dan pasukannya tetap menjadi keutamaan dan mendorong semua orang untuk mengamalkan langkah keselamatan pencegahan sesuai dengan Garis Panduan KKM.

Sementara itu, AEON BiG dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan pelanggannya bahawa tujuh cawangan di senarai HIDE ditutup selama tiga hari.

"Merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei, kami akan menutup pasar raya besar AEON BiG berada di lokasi HIDE bermula 9 hingga 11 Mei.

"Kami akan melaksanakan proses sanitasi sepenuhnya di semua cawangan terbabit bagi memastikan keselamatan semua pekerja, penyewa, rakan kongsi dan pelanggan kami diutamakan," katanya.

Cawangan yang terbabit ialah AEON BiG Mid Valley, AEON BiG Danau Kota, AEON BiG Kepong, AEON BiG Wangsa Maju, AEON BiG Klang, AEON BiG Tun Hussein Onn dan AEON BiG Sri Petaling.

Kenyataan itu berkata, sebagai langkah alternatif, pelanggan dinasihatkan untuk berkunjung ke cawangan berdekatan mereka yang beroperasi seperti biasa atau membeli menerusi fresh.myaeon.com.my.

Untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi saluran komunikasi rasmi di 1300-80-2366 atau emel ke [email protected].

Orang ramai juga boleh mengikuti Facebook AEON BiG untuk maklumat terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 2:47 PM