MOHD Abduh (tiga kiri) menunjukan rokok, mercun dan minuman keras yang dirampas. FOTO Juwan Riduan
MOHD Abduh (tiga kiri) menunjukan rokok, mercun dan minuman keras yang dirampas. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah merampas minuman keras, rokok dan mercun seludup bernilai RM2.9 juta pada operasi di kawasan Towering, Penampang dekat sini, jam 6.30 petang semalam.

Pasukan PGA melakukan pemantauan empat jam sebelum menyerbu rumah kedai di lokasi terbabit dan menahan empat individu.

Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Abduh Ismail berkata, suspek ditahan membabitkan seorang wanita berusia 39 tahun dan tiga lelaki berumur 18 hingga 28 tahun yang juga pekerja sindiket penyeludupan terbabit.

Wanita terbabit adalah warga tempatan manakala ketiga-tiga lelaki itu pula warga Filipina serta tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah.

"Pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis minuman keras seludup.

"Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan sembilan lori kontena yang dijadikan stor penyimpanan rokok, mercun dan pelbagai jenis lagi minuman keras seludup untuk pasaran Penampang.

"Semua suspek dan barangan rampasan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan," katanya pada sidang media petang tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 8:30 PM