MERCUN dan rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
MERCUN dan rokok seludup yang dirampas. FOTO Ihsan PGA
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis menahan lelaki, 39, dan merampas 1,157 kotak mercun pelbagai jenis di Pekan Parit Yaani, dekat sini, 2.30 petang semalam.

Serbuan menerusi Op Kontraban itu dijalankan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, polis turut merampas 665 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam.

"Anggaran nilai rokok seludup berkenaan adalah sebanyak RM29,261, manakala anggaran nilai cukai rokok seludup berkenaan sebanyak RM96,703.

"Jumlah anggaran nilai mercun pula adalah sebanyak RM10,034, manakala jumlah keseluruhan rampasan berkenaan sebanyak RM135,998," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dimin, rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) serta Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

"Serbuan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran mercun bagi musim perayaan Aidilfitri dan rokok tanpa cukai di sekitar Batu Pahat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 10:25 AM