Dua lelaki yang ditahan dan barang rampasan dalam serbuan yang dilakukan PGA semalam. Foto Ihsan PGA
Dua lelaki yang ditahan dan barang rampasan dalam serbuan yang dilakukan PGA semalam. Foto Ihsan PGA
Omar Ahmad

Pasir Gudang: Satu rangkaian pengedaran mercun dan rokok seludup berjaya ditumpaskan dalam tiga serbuan berasingan di tiga lokasi iaitu Pasir Gudang, Muar dan Johor Bahru dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Dimin Awang berkata, lima suspek ditahan membabitkan nilai ketiga-tiga rampasan berjumlah RM1.38 juta.

Menurutnya, dengan penangkapan dan rampasan itu dipercayai berjaya memutuskan satu rangkaian pengedaran mercun dan rokok seludup di kawasan berkenaan.

"Tangkapan dan rampasan pertama dilakukan pada 10 pagi berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 39 dan 42 tahun.

"Kami merampas 157 kotak mercun pelbagai jenis di sebuah premis di Jalan Perjiranan, Taman Air Biru di sini.

"Turut dirampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM115,318," katanya

Menurutnya, serbuan kedua pula dilakukan pada 11 pagi dan menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 37 tahun serta merampas 363 kotak dan guni mercun pelbagai jenis di sebuah premis di Jalan Putera 6, Taman Putera Indah, Muar.

Katanya, turut dirampas sebuah lori yang disyaki digunakan oleh rangkaian berkenaan dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM352,350.

Dimin berkata, kedua lelaki berkenaan dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

"Serbuan ketiga pula dilakukan pada 12.30 tengah hari dan menahan seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 5,000 karton rokok pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai di sebuah premis di Jalan Silat Cekak, Taman Selesa Jaya, Skudai.

"Sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pengedaran rokok seludup di sekitar kawasan Johor Bahru juga dirampas.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam serbuan itu berjumlah RM913,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 11:11 AM