MANCHA (kanan) menunjukkan pelbagai jenis rokok seludup yang dirampas di sebuah rumah di Taman Greenwood, di Padawan. FOTO Melvin Joni
MANCHA (kanan) menunjukkan pelbagai jenis rokok seludup yang dirampas di sebuah rumah di Taman Greenwood, di Padawan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

SEBANYAK 1,280,800 batang rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM965,976 termasuk cukai dirampas dalam serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kuching, petang tadi.

Tangkapan dalam serbuan dinamakan Op Libas itu sekali gus membongkar taktik seorang lelaki yang menjadikan rumahnya di Taman Greenwood, Jalan Penrissen sebagai stor penyimpanan rokok seludup.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risik Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak bersama dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, jam 1.30 tengah hari.

"Hasilnya, kita menahan seorang lelaki tempatan disyaki pemilik premis.

"Sebuah kenderaan jenis Toyota Unser turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM1 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman RM100,000 atau 10 kali ganda nilai duti atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara, Mancha berkata sepanjang Jun ini, PGA Briged Sarawak merekodkan empat siri kejayaan rampasan minuman keras dan rokok membabitkan penahanan seramai tiga lelaki tempatan, dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM3.4 juta.

"Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh Unit Risik PGA Briged Sarawak dalam usaha untuk mengumpul maklumat perisikan dan melaksanakan tangkapan serta rampasan secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan minuman keras dan rokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:58 PM