PUTRAJAYA 08 MEI 2021. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PUTRAJAYA 08 MEI 2021. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nurul Hidayah Bahaudin dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Malaysia dijangka mencapai 5,000 kes positif sehari dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang berdasarkan unjuran nilai kadar kebolehjangkitan (RT) semasa iaitu 1.10.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, jumlah kes harian yang dilaporkan untuk dua hari berturut-turut kini menghampiri 5,000 kes dengan 4,519 kes, hari ini.

"Penularan Covid-19 di dunia dan di Malaysia adalah semakin serius dengan jumlah terkini kes kumulatif kes di dunia adalah 155.7 juta dan 3.3 juta kematian.

"Negara didapati paling terkesan adalah India dengan kes harian Covid-19 meningkat setiap hari hingga melumpuhkan sistem kesihatan di negara berkenaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada situasi di India dan beberapa negara lain yang menghadapi keadaan hampir sama supaya tidak berlaku di Malaysia.

"Bagaimanapun, trend kenaikan mendadak kes Covid-19 di Malaysia adalah membimbangkan dan kita khuatir situasi seperti di India boleh berlaku di Malaysia sekiranya tindakan drastik tidak dilaksanakan segera di negara ini.

"Oleh itu, KKM akan terus menjalankan tindakan kesiapsiagaan di lapangan termasuk tindakan kesihatan awam selain berusaha meningkatkan kapasiti di hospital.

"Ia membolehkan kes-kes positif yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan juga Unit Rawatan Rapi(ICU) dapat dilaksanakan sewajarnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:51 PM